Sedang semua pelajar sibuk berhempas pulas berperang dengan imtihan kami dikejutkan dengan kejadian kemalangan yang berlaku ke atas 5 orang Pelajar Perubatan Kaherah. Salah seorang daripada mereka telah kembali ke rahmatullah di tempat kejadian. Jenazah Muhammad Ammar bin Zulkifli telah selamat di bawa pulang ke Malaysia pagi tadi. 2 pelajar cedera ringan dan dibenarkan pulang. 2 lagi ditahan di hospital Qasr El-Ainy untuk rawatan selanjutnya.

Berita yang bagaikan menyentak jiwa kami di sini benar-benar tidak dijangka.Segala-galanya adalah petunjuk daripada Allah. Memang sepanjang tahun ini kami digemparkan dengan perkahwinan sahabat-sahabat kami, kelahiran cahaya mata dan bakal menimangnya. Mungkin tahap kegembiraan itu telah melampaui batas dan masing-masing asyik bercerita mengenainya. Maka Allah menarik salah seorang daripada kami sebagai peringatan bahawa manusia itu perlu mengingati mati, dan menambahkan amal dalam jalan dakwah. Bukan hanya bersukaria dengan nikmat kurniaan dengan rasa bersyukur tetapi mengabaikan perintah Allah yang lain.

Selama hampir tiga tahun ana di Mesir, beberapa kes kematian yang melibatkan pelajar-pelajar di sini tidak begitu menyentuh perasaan. Hanya perasaan kasihan dan panjatan doa moga ruh dicucuri rahmat-Nya. Tetapi kes kematian kali ini amat memberi kesan kepada jiwa-jiwa kami walhal kami sebenarnya tidak berapa mengenali allahyarham. Cuma mendengar kebaikannya melalui teman-teman yang pernah mengenalinya. Dan pemergiannya bukanlah sia-sia. Dia dalam keadaan berusaha untuk menaut hati-hati para sahabat di kalangan Pelajar Perubatan! Ingin menyambung ukhuwah sesama mereka. Tidak melibatkan wanita ajnabi langsung atau ikhtilat yang tidak sepatutnya. Hadaf yang jelas kerana ALLAH subhanahu wata’ala. Bukan semata-mata untuk bersuka-suka. Usaha ini amat bermakna. Moga Allah memberi ganjaran kepada sesiapa yang terlibat menjayakannya!

Seperkara lagi mengenai berita ini, ana amat tertarik dengan reaksi Ummu Ammar. Beliau amat tenang dan berdoa semoga dikurniakan lebih ramai lagi mujahidin yang seperti Ammar. Apabila seseorang hamba itu yakin dan cinta pada ALLAH, dia akan sentiasa redha dengan apa yang diujikan terhadapnya. Betapa tingginya kesabaran ibu itu! Ya ALLAH, moga aku dan sahabat-sahabatku juga mampu memiliki kesabaran sepertinya!

INDAHNYA UKHUWAH KERANA ALLAH, INDAHNYA UKHUWAH SESAMA SEFIKRAH!

Advertisements