April 2009


Bagi makan kat ikan ana!!!

[clearspring_widget title=”Fish” wid=”48cfe5b37f644537″ pid=”49f1ee208e61b126″ width=”296″ height=”196″ domain=”widgets.clearspring.com”]

Advertisements

Sudah beberapa kali pintu diketuk. Namun aku masih diam membatu. Semua mengira bahawa aku akan melakukan sesuatu yang diluar jangkaan. Telah kukunci pintu itu dari dalam. Tiada siapa yang dapat membukanya. Aku duduk di birai katil sambil menangis dan menangis. Kesal dengan sikapku yang sering melupakan tikar yang terlipat rapi di dalam sebuah rak usang.

“Buka pintu ni!” Kedengaran keras suaranya.

“Buka lekas, kalau tidak kami pecahkan!” Suara kedua mengikut.

Aku akur kini. Pintu kubuka. Ibu terus meluru memelukku. Air matanya berjuraian tanpa henti sedang air mataku kering menangisi diri. Ayah serta Abang melihat dengan geram.

“Apa dah jadi ni nak? Siapa yang aniaya kamu?” Lembut ibu berbicara. Aku memandang lesu. Letih menangis tadi belum terungkai. Mata ibu sejuk menusuk hatiku. Ibu memang selalu lembut sedangkan aku berkasar dengannya.

“Tak ada siapa, bu. Ana yang aniaya diri ana sendiri. Ana jauh dari Tuhan. Ana tak mahu tipu ibu lagi. Ana anak derhaka. Ana minta ampun,bu!” Air mata masih berbaki. Mencurah-curah keluar dari kelopak yang sedari tadi basah.

“Jangan cakap macam tu. Ibu tak rasa pun ana derhaka. Ibu tetap sayangkan ana. Tegur ibu bukan kerana benci. Tapi untuk mendidik supaya ana tak menyimpang,” air mata disapu. Ibu risau kalau aku membunuh diri. Aku masih waras. Sekali-kali tidak aku menurut kata syaitan yang menyarankan tindakan bodoh itu.

“Ana nak solat”, aku memandang ibu tepat ke matanya.

“Baiklah”, ibu bangun dan perlahan-lahan meninggalkanku. Riak wajahnya tampak rasa syukur yang berganda di atas kesedaran anaknya. Doa yang tidak putus-putus dimakbul. Rasa kagum dengan kata-kata lembut yang menghalusi telinganya.

* * * * * * * * * *

Aku hanyalah seorang penganggur lepasan Sijil Penilaian Menengah sahaja. Tiada apa yang harus dibanggakan. Kerjaku hanya menghabiskan masa di jalanan bersama-sama remaja yang rosak akhlaknya. Aku tidak terarah sedangkan dulu aku belajar agama. Ya, belajar tanpa kefahaman adalah suatu yang merugikan apatah lagi tidak diamal. Segalanya bermula ketika aku masih di tingkatan satu.

Semua pelajar tingkatan satu di tempatkan di Asrama Seri Indah. Kelihatan beberapa orang pelajar-pelajar lama berdiri di pintu asrama bagi membantu pelajar baru menguruskan kemasukan ke asrama. Barangku tidak banyak. Hanya satu beg besar beserta baldi dan peralatan mandi. Kelihatan seorang pelajar yang memakai baju serba biru datang menghampiriku.

“Adik ni nama siapa? Dah dapat nombor bilik?” dia bertanya.

“Aisyah. Belum lagi kak”, aku menjawab jujur.

“Mari akak tunjukkan!”

Azreena. Nama yang tertera di kad matriksnya. Azreena menarik tanganku membawaku ke meja pendaftaran.

“Oh, adik di bilik nombor 102. Eh, kita berjiran rupanya. Mari akak bawakan barang-barang Aisyah”, begku dicapainya.

“Panggil sahaja Ana. Sebab awalan nama saya sama dengan adik saya. Nanti orang keliru”,

“Baik, Ana”, senyuman ikhlas terpamir.

Ibu dan ayah mahu pulang segera. Jauh. Takut sampainya malam. Aku menghulurkan tangan minta keredhaan. Kereta Proton Saga biru itu kulihat menjauh ke pintu keluar. Sedih tiba-tiba bertandang.

Maka bermulalah kehidupanku di teratak pelajar yang aku sendiri tidak tahu dan kenal siapa mereka. Aku hanya rapat dengan Kak Azreena. Setiap masa kami sentiasa bersama. Semua memnggil kami ‘belangkas merata’. Di mana ada Azreena di situ ada Aisyah Liyana.

Masa berlalu dengan begitu pantas. Kak Azreena yang tua dua tahun dariku baru sahaja tamat zaman persekolahan. Aku langsung tidak mendengar khabarnya. Sepanjang kami bersama dia seorang yang sangat mementingkan tali ukhuwah. Jarang aku mendengar perkara-perkara yang buruk mengenainya melainkan ianya terkeluar daripada mulut ‘pelanggar’ peraturan asrama. Kak Azreena amat taat pada perintah Allah. Ketiadaan Kak Azreena membuatkan aku rasa kehilangan. Kawan-kawan yang membecinya aku rapati. Maka bermulalah bibit-bibit jahiliyyah memasuki jiwa yang dahulunya tak lekang mengingati Allah. Syaitan tertawa gembira melihat kejayaan seorang insan yang semakin leka.

Setiap hari aku keluar malam dari asrama. Memberontak konon dikongkong. Aisyah Liyana tak seperti dulu. Teguran tidak menusuk ke hati yang telah diliputi kehitaman. Asap berkepul-kepul yang keluar itu menjadi tabiat utama yang lahir melaluiku dan rakan-rakan lain. Solat yang dulunya penuh setiap masa semakin berkurang.

Suatu hari aku berjalan. Ketika itu musim cuti sekolah. Kelihatan dua orang daripada kawan-kawanku melambai-lambai sambil menjerit supaya mengikutinya ke satu pesta. Tiba-tiba sebuah kereta laju daripada simpang tiga di hadapan lalu merempuh motosikal yang dinaiki oleh dua orang kawanku tadi. Aku terpaku. Serta-merta aku teringatkan Kak Azreena.

* * * * * * * * * *

“Akak buat ape?”

“Tak ada apa, Ana. Akak tengah baca buku fikrah. Ada orang bagi tadi”,

“Hm, bunyi macam menarik”,

“Bukan macam, memang menarik pun. Dalam buku ni ada cerita pasal tujuan hidup kita. Kenapa, untuk apa, semua tertulis dalam buku ni”, Kak Azreena menghulurkan buku yang dipegangnya.

“Kak, boleh bacakan ana ayat itu?”

“Ayat yang mana?”

“Ayat yang selalu akak bacakan untuk ana”,

“Oh ayat tu…‘Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Barangsiapa yang mengikuti langkah-langkah syaitan, maka sesungguhnya syaitan itu menyuruh mengerjakan perbuatan yang keji dan mungkar’ “,

“Maknanya kalau kita menyimpang kita akan jauh daripada Allah kan?”

* * * * * * * * * *

Aisyah terduduk sesal. Dua orang pembonceng motosikal di kejarkan ke hospital. Salah seorang daripada mereka terpaksa di potong kakinya dan seorang lagi meninggal dunia dalam perjalanan. Aku hanya memandang sayu melihat kawanku meraung-raung meminta kakinya semula. Tidak redha dengan apa yang menimpanya. Ingin kudekati tetapi kulihat dia buas menepis tangan yang ingin membantu.

* * * * * * * * * *

Aku mengesatkan air mata mengenangkan semua peristiwa yang bermain-main di ruang ingatan. Solat dua rakaat begitu menenangkan. Betapa Allah masih lagi menyayangi hamba-Nya. Al-Quran kubuka. Kuperhatikan sambungan daripada ayat yang pernah Kak Azreena bacakan. Kutersenyum syukur. Moga kesedaran ini selamanya di hati. Ya Allah betapa Pemurahnya diri-Mu!

“Sekiranya tidak kerana kurnia Allah dan rahmat-Nya kepada kamu sekalian, nescaya tidak seorang pun daipada kamu bersih (daripada perbuatan keji dan mungkar itu) selama-lamanya. Tetapi Allah membersihkan sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”

Surah An-Nuur ayat 21…

“Ana, ada orang nak jumpa”, ibu memanggilku. Siapa? Hatiku tertanya-tanya. Kakiku melangkah segera.

“Kak Azreena!” Tubuh itu kudakap erat. Lama tidak kutemui.

“Maaf, akak bukan Kak Azreena”, suaranya sayu.

Aku melepaskan pelukan. Undur ke belakang. Wajah itu kuperhati lama.

“Bukan? Apa maksud akak?”

“Akak Azreeni. Kembar Kak Azreena. Kak Azreena menyuruh supaya akak mencari kamu sebelum dia menghembuskan nafas terakhir. Ini surat dan buku yang disuruh sampaikan”, mataku tertancap pada buku yang pernah ditunjukkan Kak Azreena kepadaku. Perlahan-lahan surat itu kubuka.

Buat Ana yang dikasihi,

Assalamualaiki…apa khabar. Harap Ana sudi memaafkan akak sebab tidak memberitahu keadaan akak yang sebenar. Mungkin surat ini akan dibaca ketika akak dah tiada di dunia. Tapi akak masih berharap dapat berjumpa dengan Ana. Biarlah Allah yang menentukan pertemuan kita.

Aisyah Liyana,

Akak sentiasa mengikuti perkembangan Ana di sekolah. Maaf sekali lagi kerana tidak dapat memimpin Ana ke jalan yang seterusnya. Moga surat ini dapat membantu sedikit sebanyak. Setiap hari akak berdoa supaya Ana kembali ke pangkal jalan yang lurus. Jalan yang telah digariskan Allah untuk kita. Allah menciptakan syurga dan neraka. Allah sesekali tidak mahu hamba-hamba-Nya menuju ke neraka. Lalu Dia berikan jalan yang lurus itu supaya manusia tahu ke mana harus dituju.

Ana ukhti fillah,

Akak ingin sekali memahamkan Ana bahawa jalan dakwah yang kita lalui ini bukanlah semata-mata kerana patuh pada seseorang. Bukan juga kerana kita hanya mengikut mana-mana yang kita sukai. Tetapi kerana Allah. Tujuan kita kerana-Nya. Biarpun akak tiada di sisi Ana atau bertukar kepada sesiapa yang sehaluan, Ana mesti setia dengan tarbiah yang Ana lalui. Akak tidak mahu setia itu disandarkan kerana akak. Moga Ana perbaiki balik niat Ana. Akak tahu Ana boleh berdiri tanpa akak. Percayalah pada diri sendiri. Jangan mudah kalah dengan bisikan syaitan. Kuatkan iman!

Ingatlah setiap apa yang Allah peringatkan kepada kita. Pesan Rasulullah salallahu ‘alaihi wasallam. Insya-Allah selamanya kita tidak akan tersesat. Moga kita sama-sama mendapat keredhaan Allah.

-Salam Azreena Azri-
Kulipat kemas kembali surat Kak Azreena.

“Kak, Kak Azreena sakit apa?”

“Maaf, Ana. Akak tak dapat nak beritahu. Ini pintaan Kak Azreena. Walau apapun kita kena tabah dan teruskan kehidupan. Kalau ada apa-apa yang Ana perlukan, Ana boleh jumpa akak. Oh ya, selama ini akak di luar negara menerima rawatan itu sebabnya Ana tak pernah jumpa akak. Kak Azreena selalu menyebut tentang Ana pada akak tetapi akak sendiri yang tidak mahu Ana tahu tentang akak. Akak menghidap sakit yang sama dengan Kak Azreena dan alhamdulillah baru sahaja sembuh. Tapi Allah lebih sayangkan Kak Azreena. Penyakit yang kami hidapi tiada ubat di sini dan hanya di hospital luar negara yang ada. Kak Azreena ingin menghabiskan persekolahannya dan hanya bergantung kepada ubat-ubat yang Ibu dan Ayah kami kirimkan. Mulanya dia baik. Tetapi selepas tamat persekolahan, penyakitnya jadi semakin teruk. Bila berada di hospital yang sama dengan akak, doktor kata dah kronik. Doktor masih cuba untuk membantu. Apakan daya, Allah yang mengaturkan kehidupan  ini”, wajah Kak Azreeni tenang menjawab.

“Akak, terima kasih!”

Hatiku tenang kini. Aku redha dengan ketentuan Allah. Pergantunganku pada Allah. Ada hikmah takdir kehidupanku. Ibu dan ayah sentiasa menyokong perubahan positifku. Zaman jahiliyyahku amat menggerunkan. Mujur sahaja nasabku terpelihara daripada sebarang kemungkaran. Aku membaca semula ayat 21 itu. Aku juga mengambil pengajaran daripada ayat-ayat lain. Alangkah bahagianya bila teringatkan ukhuwah kerana Allah. Sungguh manisnya subur di hati. Kak Azreena, bacakan Ana ayat itu!