Januari 2009


Derma Untuk GhazaTiada apa yang mampu kami lakukan selain daripada menghulurkan bantuan bagi menampung kekurangan darah yang dialami oleh penduduk Palestin. Kami amat tidak puas hati dengan tindakan pihak Mesir yang tidak mahu membuka sempadan bagi membolehkan penduduk di Ghaza masuk untuk perlindungan. Padahal kalau nak dibandingkan dengan kekuatan askar, Mesirlah yang paling kuat angkatan tenteranya.

Derma darah dibuat secara besar-besaran di Syari’ Qasrul’aini. Ramai rakyat yang prihatin  turun menyumbangkan bantuan demi penduduk Ghaza. Tidak kurang juga Pelajar-pelajar  Malaysia hinggakan ada yang pitam dan pengsan selepas menderma. Ana pun tak pasti sama ada pitam atau pengsan sebab melihat darah yang terlalu banyak atau kerana kekurangan darah. Walau bagaimana pun, sikap ini patut dicontohi kerana sanggup melakukan apa sahaja untuk berbakti. Jarum yang besarnya separuh daripada jarum sulam memang amat menakutkan ana yang sama-sama hadir ke tempat itu (Dari Mantiqah Ula ke Sayyeda Zainab). Selama ini jarum yang pernah menembusi kulit ana hanyalah dua kali ganda jarum biasa besarnya. Ana memandang dengan teliti setiap pergerakan doktor yang cuba memasukkan jarum ke tempat yang sepatutnya hendak dicucuk. Lengan tangan di bahagian atas diikat. Doktor menyuruh ana genggam dan buka jemari yang lima berulang-ulang kali selepas jarum dimasukkan.  Ana menurut. Seperti pam. Aliran darah mengalir terus ke takungan. Semakin banyak  suruhan itu diulang semakin lajulah darah mengalir.

Ana harap darah yang tidak seberapa ini berguna buat mereka. Darah itu cuma sedikit kalau hendak dibandingkan dengan darah luka yang mengalir akibat daripada tembakan, bom,  serangan apatche dan sebagainya. Jarum yang besar itu juga tidaklah seberapa sakitnya kalau nak dibandingkan dengan peluru yang menembusi badan-badan mereka!

Salam perjuanganTarikh keramat 7 haribulan Januari 2009 merupakan tarikh bersejarah buat akhawat di Mesir. Kelahiran seorang bayi yang comel benar-benar membuatkan hati kami di Bumi Anbiya’ ini gembira berbaur duka. Duka dengan nasib ummat Islam di Bumi Palestin. Menurut sahabat kami yang baru sahaja lepas bersalin ini, ramai para ibu di sana meninggal dunia kerana kekurangan peralatan sewaktu melahirkan anak. Adinda kepada Huzaifah dan Umniyyah pula lahir dalam keadaan yang sempurna berbanding mereka. Kita amat beruntung dan mesti bersyukur dengan keselesaan pemberian Allah. Daripada amatan kami, wajah si kecil yang baru melihat dunia itu tampak matang, seolah-olah memikirkan sesuatu perkara besar. Semasa dia dalam kandungan, ibunya sering mengikuti perkembangan tentang ummat Islam di Palestin. Harapa moga dia menjadi seorang mujahid soleh. Ya Allah, selamatkan bumi Palestin!

Ingatlah wahai sahabat sekelian, tatkala segelintir ummat Islam yang ingin menghantar pejuang bagi membantu Palestin mereka berkata “Pulanglah, biar kami yang mempertahankan Al-Quds. Didiklah anak-anakmu dengan baik kerana merekalah yang akan menyambung perjuangan kami nanti!”

Betapa teguhnya pendirian mereka yang sedang mempertahankan Al-Quds. Betapa tingginya harapan mereka pada kita. Kenapa? Kerana mereka percaya bahawa janji Allah itu pasti!

Allahummansurna mujahideena fi falastin..